•Menjadi normal tidak penting tapi yang paling utama diterima dan disayangi seadanya.

Ahad, November 07, 2010

Hari Keluarga INSANI 2010


Hari Keluarga Persatuan Insan Istimewa Kelantan pada tahun ini telah di adakan di sebuah resort kecil di Kg. Seberang Kastam, berhampiran Pantai Air Tawar, Besut, Terengganu pada 5 - 6 Nov 2010. Seramai 170 orang penyertaan termasuk keluarga ahli Insani menyertai program ini. Tema Hari Keluarga Insani ialah: Hari Keluarga Menjana Silatulrahim.

Walaupun diadakan pada musim tengkujuh, alhamdulillah Hari Keluarga Insani 2010 berjalan lancar. Semua aktiviti yang dirancang berjalan mengikut jadual. Antara aturcara program ialah BBQ, pertandingan karaoke, sukaneka, teka bilangan, dan cabutan bertuah.

Program Hari Keluarga Insani adalah program tahunan yang diadakan semata-mata untuk menemukan ahli perstuan dalam satu program kekeluargaan. Melalui program ini, ahli-ahli dapat bertemu dan mengeratkan silatulrahim antara sesama ahli dan juga ahli keluarga ahli.

Hari keluarga kali ini adalah kali kedua diadakan di luar negeri Kelantan. Pada tahun 2006, Hari Keluarga Insani diadakan di Lata Tembakah, yang juga di Terengganu.









Selasa, September 14, 2010

Selamat Hari Raya



Jawatankuasa Persatuan Insani mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua ahli Insani beragama Islam. Jawatankuasa merakamkan permohonan maaf zahir batin sepanjang menerajui persatuan.

Semoga hari raya ini merapatkan hubungan dan mengekalkan kejayaan setiap perjuangan memajukan insani dan ahli-ahli.

SELAMAT HARI RAYA
MAAF ZAHIR BATIN

AHLI JAWATANKUASA PERSATUAN INSANI.

Jumaat, Ogos 27, 2010

Pusat Pembangunan OKU

Persatuan Insani telah merancang untuk menubuhkan sebuah pusat untuk OKU yang berminat dalam bidang jahitan, membaiki peralatan letrik dan membuat batu bata. Pusat itu dinamakan Pusat Pembangunan Orang Kurang Upaya (PPOKU). Untuk merealisasikan projek itu satu salinan kertas kerja yang disediakan oleh Setiausaha telah dihantar kepada Kedutaan Jepun di bawah program kebajikan.

Kertas kerja itu telah menarik perhatian pihak kedutaan Jepun dan pada 26.8.2010 Setiausaha ketiganya iaitu Noriko Hayakawa telah datang melawat pejabat Persatuan Insani dan tapak projek di Kg. Raja, Machang Kelantan unuk mendapatkan maklumat lanjut.

Tujuan Pusat Pembangunan OKU (PPOK).

  1. Sebuah pusat menimba kemahiran altenatif yang lebih mesra komuniti kerana diadakan dalam suasana kemasyarakatan.
  2. Memberi peluang OKU yang telah mendapat kemahiran dari institusi kerajaan atau swasta mengembangkan ilmunya dan seterusnya menjana sumber pendapatan.
  3. Memberi peluang OKU yang tidak berkemahiran yang tidak berpeluang menghadirkan diri ke institusi kemahiran kerajaan atau swasta mendapatkan ilmu daripada OKU yang berkemahiran untuk berdikari.
  4. Sebagai tempat menjalankan aktiviti berfaedah supaya masa mereka tidak disia-siakan kerana kecacatan.
  5. Mendidik OKU supaya tidak selalu mengharap belas ihsan orang ramai.
  6. Sebagai tempat mencari rezeki yang halal.
Pihak persatuan berharap projek ini akan berjaya dan menjadi pemangkin kepada pembangunan OKU seluruh negeri Kelantan terutamanya.



Khamis, Ogos 26, 2010

IFTAR BERSAMA PIMPINAN NGO-NGO KELANTAN

Persatuan Insan Istimewa Kelantan baru-baru ini (23.8.2010) menerima jemputan menyertai Majlis Penghayatan Ramadan dan Iftar Pimpinan NGO-NGO Kelantan. Majlis yang diadakan di Sebuah Hotel di Kota Bharu (Raudah Hotel) dirasmikan oleh YB En. Abdul Fattah Mahmood, Exco Bina Insan, Belia, NGO, Wanita dan Keluarga.

Majlis yang bermula jam 4.30 petang diisi dengan Ceramah Agama dan Tadarus serta tahlil. Sebelum berbuka puasa, beberapa ahli persatuan menerima sumbangan dari Exco. Antara Persatuan yang hadir ialah, Persatuan Insani, Skok, POPK, SBM dan POCAM.

Persatuan Insani menghantar 8 orang peserta iaitu 5 orang penerima bantuan dan 3 orang pengiring. Peserta yang jauh disediakan penginapan di hotel oleh pihak penganjur.




Ahad, Ogos 15, 2010

Penyampaian Bantuan Persekolahan

Untuk peringkat pertama, Persatuan Insani telah menyerahkan bantuan persekolahan untuk 45 orang ahli yang mempunyai anak bersekolah sejak awal Ogos 2010 yang lalu. Setiausaha Insani telah melaksanakan tugas penyampaian bantuan tersebut di Dabong, Kota Bharu dan Bachok baru-baru ini bagi mewakili Pengerusi yang berkursus di Kuala Lumpur.

Sementara itu, proses pemilihan ahli-ahli yang layak peringkat kedua sedang dilakukan oleh Jawatankuasa ntuk disempurnakan uselewat-lewatnya akhir bulan ini.

Pengerusi berseru kepada mana-mana ahli yang mempunyai anak bersekolah dengan pendapatan yang rendah belum mendapat maklumat ini supaya segera menghubungi persatuan.

Pengagihan ini dilakukan secara berperingkat-peringkat dan tidak ada tarikh tutup sehinggalah habis tahun ini.

Tujuan bantuan ini ialah untuk meringankan beban ahli yang terpaksa mengeluarkan belanja yang besar semasa awal tahun ini untuk menguruskan persekolahan anak-anak. Mudah-mudahan dengan sedikit bantuan ini setidak-tidaknya dapat melegakan keperitan kesusahan sebelum ini. Apa lagi sekarang ini bulan Ramadan yang mana banyak wang yang diperlukan.


Khamis, Jun 24, 2010

Sumbangan Pendidikan


Pada tahun ini sebagaimana yang diluluskan dalam Mesyuarat Agung kali ke 11 yang lalu, Persatuan Insani menawarkan sumbangan pendidikan kepada ahli-ahli yang masih belajar atau ahli-ahli yang mempunyai anak yang sedang belajar.

Mana-mana ahli yang memerlukan bantuan pendidikan, silalah berhubung dengan persatuan menerusi mana-mana AJK atau terus kepada Setiausaha Persatuan Insani, Mohd Razali Md Din menerusi talian: 013-9238931.

Sumbangan yang boleh dipohon ialah, bantuan kelengkapan pelajar, pembayaran yuran tahunan sekolah, saguhati memasuki IPTA, Politeknik, Matrikulasi, Asrama Penuh atau mana-mana institusi pengajian tajaan kerajaan. Mana-mana ahli yang hendak membuka kelas tuisyen juga disarankan menghubungi persatuan bagi mendapatkan keterangan lanjut. Anak ahli yang mendapat 'A' dalam peperiksaan juga layak menerima sumbangan.
Walau bagaimanapun harus diingat bahawa keistimewaan ini hanya untuk ahli-ahli yang aktif iaitu ahli yang sentiasa membayar yuran setiap tahun.

Harap ahli-ahli persatuan mengambil peluang ini kerana bantuan pendidikan hanya terhad untuk tahun ini sahaja. Ini kerana dana yang ada hanya cukup untuk tahun 2010.

Tolong war-warkan kepada semua ahli Insani.

Ahad, Jun 13, 2010

Makluman Terbaru


Persatuan Insani telah meminda perlembagaannya dalam Mesyuarat Agung kali ke 11 baru-baru ini. Undang-undang yang dipinda ialah kenaikan yuran tahunan dan yuran pendaftaran. Berikut adalah maklumat pindaan tersebut:

FASAL 6 BAYARAN MASUK , YURAN DAN BAYARAN LAIN.

Hendaklah dibaca seperti berikut:

(1) Bayaran yuran yang perlu dibayar adalah seperti berikut:

Ahli Istimewa

Yuran masuk : RM 4.00

Yuran Tahunan : RM 3.00

Ahli Bersekutu

Yuran masuk : RM 3.00

Yuran tahunan : RM 2.00

Ahli Seumur Hidup

Yuran seumur hidup: RM50.00


Untuk keterangan lanjut sila hubungi Setiausaha Persatuan.

Ahad, April 04, 2010

Jemputan Program Ramah Mesra


Persatuan Insani baru-baru ini (27hb. Mac 2010-Sabtu) menerima undangan menyertai program anjuran Kerajaan Negeri Kelantan iaitu Majlis Ramah Mesra dengan NGO (OKU) Negeri Kelantan. Program ini diadakan di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan (PCB). Seramai 50 orang ahli insani menyertai program itu yang di rasmikan oleh Menteri Besar Kelantan. Exco Kerajaan Negeri bahagian NGO, YB En Abdul Fatah turut hadir.

Persatuan lain yang turut serta ialah POCAM cawangan Kelantan, SBM cawangan Kelantan dan POPK.

Majlis dimeriahkan dengan acara sukaneka dan cabutan bertuah di samping penyertaan Dwen Nawi artis Pilih Kasih. Antara acara sukaneka ialah Bowling Kelapa, Cucuk Manik, Sambut Belon Berisi Air dan sebagainya.

Di akhir majlis, semua peserta menyempurnakan solat Zohor yang diimamkan oleh Menteri Besar Kelantan



Ahad, Mac 28, 2010

Mesyuarat Agung Kali ke 11


Mesyuarat Agung Insani kali ke 11 telah diadakan di Bengkel Kampung Aur pada 20hb Mac 2010 yang lalu. Mesyuarat agung tahunan setahun sekali itu dihadiri oleh 200 orang ahli. Dalam mesyuarat kali ini pemilihan jawatankuasa baru sesi 2010 - 2012 telah diadakan dan semua calon menang tanpa bertanding.

Pada mesyuarat kali ini, saguhati kepada ahli dan anak ahli yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM telah diberikan mengikut bilangan 'A'. Selain dari itu, bantuan warga emas turut diadakan. Seramai 6 orang warga emas diberikan sumbangan kewangan.

Serentak dengan itu juga, pelancaran tabung Kebajikan Pendidikan OKU telah dilancarkan. Tujuan tabung ini ialah untuk membantu ahli atau anak ahli dalam bidang pendidikan.

Pengerusi Persatuan Insani, En. Wan kamarulzaman berkata, sokongan ahli-ahli dalam menjayakan setiap program amatlah dialu-alukan. Beliau juga berharap ahli-ahli sentiasa hadir dalam setiaprogram diadakan agar persatuan sentiasa aktif. Beliau yang mengekalkan jawatan untuk penggal ke empat turut menyampaikan sumbangan kepada penerima sumbangan.

Majlis juga diserikan nyanyian oleh Syed Din ketika mesyuarat berhenti rehat. Syed Din adalah ahli insani yang sangat berbakat dalam bidang nyanyian.

Mesyuarat kali ini ditangguhkan pada jam 1 tengahari. Selepas itu, acara cabutan bertuah diadakan sebagai ole-ole untuk ahli insani yang setia hadir ke mesyuarat. Sebanyak 50 hadiah cabutan bertuah disediakan.