•Menjadi normal tidak penting tapi yang paling utama diterima dan disayangi seadanya.

Sabtu, September 15, 2012

Hari Rapat Keluarga & Hari Raya Insani.

Persatuan Insan Intimewa Kelantan baru-baru ini telah mengadakan Hari Rapat Keluarga & Majlis Hari Raya Insani. Program ini diadakan di sebuat Chalet di Tok Bali, pasir Puteh, Kelantan yang turut diserikan dengan kehadiran Tuan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan, En Md Noor bin Chik. Dalam ucapan Perasmian Penutup, Pengarah JKM Kelantan berharap ahli-ahli Insani sentiasa bersatu dalam persatuan dan mengucapkan tahniah kerana berjaya menghimpunkan ahli-ahli yang datang dari jauh dan dekat.

Program ini diadakan untuk memberi peluang kepada ahli beramah mesra di samping mengeratkan hubungan silatulrahim. Selain itu objektif program adalah sebagaimana berikut:

i) Untuk melahirkan rasa syukur setelah selesai menjalani ibadat puasa di bulan Ramadan yang lalu.

ii) Untuk meningkatkan kerjasama Jawatankuasa dan ahli-ahli persatuan menjayakan program.

iii) Untuk merapatkan silatulrahim.

iv) Untuk membina satu ikatan kekeluargaan sesama ahli keluarga dan antara keluarga-keluarga yang hadir.

v) Untuk mengaktifkan persatuan

vi) Mencernakan masyarakat dengan OKU.

vii) Sebagai satu riadah yang berfaedah.

Pengisian program ialah acara sukaneka, jamuan hari raya dan berkenal-kenalan dengan Jawatankuasa baru. Kehadiran Tuan Pengarah JKM Negeri Kelantan juga bertujuan berkenalan dengan peneraju baru Persatuan Insani. Program ini diadakan pada 15 Sept. 2012 (Sabtu)

Kehadiran mantan AJK lama juga menunjukkan hubungan yang berkekalan atas nama persatuan.




















Sabtu, Ogos 11, 2012

Penghayatan Ramadhan & Majlis Berbuka Puasa

Persatuan Insan Istimewa Kelantan (INSANI) telah mengadakan Program Penghayatan Ramadhan & Majlis Berbuka Puasa pada 3hb. Ogos 2012 yang lalu bertempat di Bengkel OKU Kg Aur, Bachok, Kelantan. Majlis yang julung kali diadakan dengan hasil usaha Jawatankuasa yang diketuai oleh Setiausaha Persatuan Insani, Mohd Kufri Omar.

Dalam ucapan alu-aluan, Pengerusi Insani, Mohd Ramli Abdul Rahman mengucapkan tahniah dan syabas kepada Setiausaha dan barisan jawatankuasa yang begitu komited untuk mengadakan program seumpama ini.

Program ini dirasmikan oleh Pengurus Bengkel OKU Kg Aur, En Mohamad Hassan yang turut sama berbuka puasa dengan ahli-ahli persatuan yang datang jauh dan dekat. Qari dari Bengkel OKU iaitu Ahmad Md Nor telah memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci sementara Ustaz Lokman Hakim. seorang penceramah bebas diundang menyampaikan tazkirah yang bertajuk Makna Penghayatan Ramadhan.

Seramai 180 orang ahli-ahli datang untuk meraikan majlis. Pada majlis itu turut disampaikan sumbangan pendidikan dan sumbangan Pesakit Kronik.

Menu berbuka puasa ialah: Singgang daging, ayam masak merah, solok lada, ikan masin, ulam-ulaman dan kuehnya onde-onde dan akok.






AJK dan beberapa orang ahli menyiang daging untuk dimasak.

Sabtu, Julai 14, 2012

Majlis Minum Teh & Ramah Mesra OKU

Persatuan Insan Istimewa Kelantan telah menganjur satu program bagi menambah dana persatuan itu Majlis Minum Teh. Pada majlis tersebut, diadakan pelbagai acara termasuk program Derma Darah (Kesihatan), Pembaharuan Kad OKU (JKM), Pameran oleh AADK dan pendaftaran ahli baru.

Majlis ini diadakan pada 30hb Jun 2012 bertempat di Padang Awam Selising, Pasir Puteh yang dirasmikan oleh Pegawai Daerah Pasir Puteh. Walau bagaimanapun, Pegawai Daerah tidak dapat hadir dan Penggawa mewakilinya untuk merasmikan majlis.

Turut hadir pada majlis ini ialah Wakil-wakil rakyat dan penduduk kampung serta ahli-ahli persatuan.

Majlis ini sebenarnya bertujuan mengumpul dana untuk membantu anak-anak ahli melanjutkan pelajaran, meringankan beban ahli-ahli yang sakit terlantar dan juga untuk mengadakan Program Berbuka Puasa & Penghayatan Ramadan.

Kepada para dermawan yang prihatin, kami masih mengalu-alukan sebarang sumbangan untuk mengadakan Majlis Berbuka Puasa dan Penghayatan Ramadan pada bulan puasa ini.













Sabtu, April 07, 2012

Kursus Pemantapan Tanggungjawab

Pada 5 dan 6 April 2012 yang lalu, Jawatankuasa insan Istimewa Kelantan mengikuti Kursus Pemantapan tanggungjawab dan Pengurusan Jawatankuasa di sebuah resort di Bachok. Tujuan kursus ini adalah untuk memantapkan Ahli Jawatankuasa baru yang rata-rata terdiri dari muka baru. Hanya 3 orang muka lama yang masih berada dalam jawatankuasa sesi 2012 - 2015.

Kursus dua hari ini sepenuhnya dikendalikan oleh Mohd Razali Md Din iaitu mantan Setiausaha Insani (2000 - 2012) merangkap Penasihat pentadbiran Jawatankuasa persatuan Insani. Intipati kuursus ialah mengupas Undang-Undang Persatuan, Peraturan Mesyuarat, Tanggungjawab sebagai ahli jawatankuasa dan Bengkel Mencipta Program.

Turut hadir memberi ceramah ialah Penceramah Jemputan bagi slot Motivasi iaitu En. Mohd Faizal Yusoff seorang Peguam Buta dari Majlis Peguam.

Peramian Penutup Kursus disempurnakan oleh Mantan Pengerusi Insani (2004 - 2012) merangkap Penasihat II persatuan iaitu En. Wan Kamarulzaman Wan Mohd Nor.