•Menjadi normal tidak penting tapi yang paling utama diterima dan disayangi seadanya.

Khamis, Jun 09, 2011

Tiada Aktiviti seketika


Sehingga Jun ini, tiada aktiviti yang dijalankan oleh Persatuan Insani. Perkara ini berkaitan dengan sumber kewangan yang berkurangan sejak akhir ini. Walaupun usaha telah dibuat oleh pihak pentadbiran untuk menambah dana aktiviti tetapi hasilnya tidak begitu sukses.

Antara aktiviti yang tertangguh ialah Tuisyen untuk UPSR dan PMR, Aktiviti Kelab Sukan, Hari Keluarga dan Konvo Bantuan Kemiskinan.

Dan juga Program Berbuka Puasa dan Bantuan Hari Raya mungkin dibatalkan juga jika masalah mendapatkan sumber kewangan berterusan.

Justeru kami memohon jasa baik semua pihak, sama ada individu, syarikat, korperat, dan sebagainya supaya dapat membantu kami untuk menjalankan aktiviti.

Semua sumbangan boleh disumbangkan atas nama:
Persatuan Insan Istimewa Kelantan.

Kami juga mengharapkan ahli-ahli memahami keadaan ini.

Jumaat, April 01, 2011

Persidangan NGO-NGO Kelantan

Pada 29hb Mac 2011, Selasa, satu Persidangan NGO-NGO Negeri Kelantan telah diadakan di Dewan Teratai, Kota Darul Naim. Ianya anjuran Jawatankuasa Modal Insan, Belia, Wanita & NGO Negeri Kelantan.

Persatuan Insani turut dijemput dan menghantar 3 orang ahli iaitu, Setiausaha (Mohd Razali Md Din), Bendahari (Che Suhana Che Omar) dan seorang AJK (Masliza Che Mohamed).

Majlis Bermula jam 9 pagi dan berakhir jam 1.00 petang. Program ini turut disertai Pendaftaran Pertubuhan Kelantan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan. Ianya diwakili Pengarah masing-masing yang kemudiannya membentang kertas kerja.

Dua orang pembentang kertas kerja lain yang diundang ialah dari persatuan WADAH dan PEWARIS.

Perasmian penutup Persidangan disempurnakan oleh YB En. Abd. Fatah Mahmood, exco kerajaan negeri yang mengetuai Jawatankuasa penganjur persidangan.







Sabtu, Mac 19, 2011

Mesyuarat Agung Kali ke 12

Alhamdulillah, selesailah sudah Mesyuarat Agung Persatuan Insani kali ke 12 pada 19 Mac 2011. Mesyuarat ini telah diadakan di Bengkel Pemulihan OKU Kg Aur, Telong Bachok dan dihadiri 250 orang ahli.
Mesyuarat berlangsung dalam keadaan tenang dan perbahasan usul berjalan dengan keadaan harmoni dan setiakawan.
Pengerusi Persatuan Insani, En Wan Kamarulzaman telah mempengerusikan mesyuarat dan majlis perasmian disempurnakan oleh Wakil Pengurus Bengkel iaitu En. Mohd Safwan Nasuha.
Selepas Mesyuarat para hadirin dihidangkan dengan nyanyian oleh beberapa orang ahli OKU yang berbakat dan juga diselangi dengan cabutan bertuah.




















Sabtu, Mac 05, 2011

Maulidur Rasul 2011

Sempena bulan Rabiulawal, bulan kelahiran Junjungan Mulia Rasulullah s.a.w, Persatuan Insani telah mengadakan Program Sambutan Maulidur Rasul. Program diadakan pada 4.3.2011 di rumah AJK Ruzilawati Ghazi yang terletak di Melor, Kota Bharu, Kelantan.

Majlis ini disertai ahli-ahli berdekatan dan penduduk setempat yang sama-sama bergotong royong memasak dan sama-sama berselawat selepas solat Jumaat. Beberapa orang AJK yang berdekatan juga turut bermalam di rumah Ruzilawati untuk menyiapkan juadah dan memastikan program berjalan lancar.

Antara AJK yang turut hadir ialah Pengerusi, Wan Kamarulzaman, Naib Pengerusi, Abdul Hamid, Setiausaha, Mohd Razali, Penolong Bendahari, Zawadi Said, AJK kerja, Nik Raziah. Ziti Azlina dan Mohd Ramli.

Program Maulidur Rasul adalah program yang dijalankan secara bergilir-gilir kawasan. Ahli-ahli yang berminat untuk mengadakan program ini pada tahun di kawasan mereka bolehlah membuat permohonan kepada Setiausaha. Selain Maulidur Rasul, Memasak bubur Asyura, Majlis Silatulrahim (kemasukan ahli beramai-ramai) dan Nisfu Syaaban boleh dibuat permohonan untuk diadakan di kawasan ahli-ahli persatuan yang berminat.











Khamis, Februari 10, 2011

Latihan Pengurusan Kewangan

Tiga orang ahli Persatuan telah menyertai program anjuran FOMCA iaitu Latihan Pengurusan Kewangan di Rumah Anak Yatim, Kota Bharu pada 8 Feb 2011 yang lalu. Program ini berlangsung selama 3 jam yang dipenuhi dengan ceramah/bengkel cara-cara menguruskan kewangan.

Ahli Persatuan yang menyertai program ini ialah Setiausaha, Mohd Razali Md Din, Zawadi Said (Penolong Bendahari) dan Ziti Azlina Ismail (Pemeriksa Kira-kira). Penyertaan ini dikira dapat membantu peserta menguruskan kewangan dan bagi persatuan ianya akan dapat digunakan oleh wakil dalam pengurusan kewangan persatuan.

Program ini juga mendapat kerjasama JKM Kelantan dan Bank Negara Malaysia.






Ahad, Januari 02, 2011

Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan

Persatuan Insani sebagaimana biasa menyempurnakan program Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan kepada ahli-ahli yang terpilih. Penyampaian bantuan itu diadakan pada 30hb. Disember 2010 yang lalu di sebuah premis berdekatan dengan rumah Pengerusi iaitu di Lundang, Kota Bharu.

Sumbangan yang tidak seberapa itu diharapkan dapat mengurangkan beban ibu bapa yang kebanyakannya OKU untuk menampung perbelanjaan anak-anak yang bersekolah.

Persatuan Insani berharap pada tahun 2011 nanti akan lebih banyak sumbangan dari sektor korporat, individu dan jabatan kepada persatuan agar dapat diagihkan kemudiannya untuk ahli-ahli yang memerlukan.

Majlis penyampaian bantuan dibuat secara ringkas dan disampaikan oleh Pengerusi Persatuan Insani, En. Wan Kamarulzaman. Turut hadir Naib Pengerusi, En. Abdul Hamid Ibrahim dan Setiausaha, Mohd Razali Md Din . Ahli-ahli dari tiga daerah yang dipilih iaitu Bachok, Kota Bharu dan Pasir Mas menerima sumbangan pada majlis tersebut. Ahli-ahli lain dari daerah lain seperti Machang, Kuala Krai dan Pasir Puteh diagihkan dari rumah ke rumah oleh Setiausaha persatuan.