•Menjadi normal tidak penting tapi yang paling utama diterima dan disayangi seadanya.

MATLAMAT PERSATUAN INSANI


(1) Menyokong segala usaha dan dasar Kerajaan Malaysia bagi membangunkan negara ini sebaik-baiknya secara membantu dan menolong semua rakyat Malaysia yang miskin dan memerlukan tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan khasnya bagi orang kurang upaya. 

(2) Berusaha mencari, memungut, menerima, mengumpul dan menguruskan segala punca kewangan atau barang-barang yang didermakan atau diamanahkan oleh mana-mana pihak dan lain-lain sumber. Segala punca pendapatan dan pengumpulan ini akan digunakan untuk kebajikan mereka yang layak (orang kurang upaya / orang yang daif). Mana-mana mereka yang layak akan dipertimbangkan untuk menerima sebarang bantuan, sumbangan atau sebagainya yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Persatuan.

(3) Mempelopori, membantu, memulihkan, menggalakkan dan menganjurkan lain-lain program untuk semua orang demi kebaikan dan pemulihan mereka seperti hal-hal berkaitan Agama Islam (keagamaan), kekeluargaan, keperluan, rekreasi, kesenian, lawatan, kaunseling, motivasi dan lain-lain. 

(4) Berusaha memaju dan membangunkan sukan orang-orang cacat untuk orang kurang upaya yang berminat terhadap semua aktiviti sukan supaya mereka dapat menjadi atlit yang akan mewakili Kelantan dan Malaysia.

(5) Menyebarkan maklumat, menerbitkan risalah / buletin dan mengadakan perhimpunan dari masa ke semasa untuk melahirkan kesedaran dan keinsafan kepada ibu bapa, orang-orang kurang upaya khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

(6) Mengemukakan syor-syor, cadangan-cadangan, kritikan dan pindaan-pindaan yang membina kepada Kerajaan dan rakyat dalam usaha menyokong, meningkatkan kebajikan dan taraf hidup terutamanya golongan kurang upaya di negara ini.

(7) Menambah tabung kewangan dengan cara yang tidak bercanggah dengan undang-undang. Semua wang dan keuntungan yang didapati oleh Persatuan ini hasil dari penyertaannya dalam mana-mana perniagaan akan digunakan semata-mata untuk melanjutkan, memajukan dan menjalankan tujuan-tujuan Persatuan ini dan tidak sebahagian pun daripada wang atau keuntungan itu akan digunakan untuk membayar faedah, keuntungan atau bonus kepada mana-mana orang. Sungguhpun begitu, peruntukan ini tidak menghalang sebarang pembayaran yang dibuat dengan tujuan baik, untuk membayar gaji atau perbelanjaan atau kedua-keduanya kepada mana-mana yang menjalankan tugas atau yang memegang jawatan. 

(8) Mendapatkan sumbangan dan derma dari orang awam dengan persetujuan Mesyuarat Agung serta tertakluk kepada kebenaran daripada Pendaftar Pertubuhan dan pihak-pihak berkuasa tertentu diperolehi terlebih dahulu.

(9) Untuk menjalankan aktiviti tanpa ada diksriminasi tentang jantina, ras, warna kulit, agama, asal-usul, bahasa, kecenderungan politik atau apa-apa pandangan lain yang dipegang oleh anggota.