•Menjadi normal tidak penting tapi yang paling utama diterima dan disayangi seadanya.

Jumaat, Mac 28, 2014

Mesyuarat Agung Kali ke 15 (2014)




 Mesyuarat Agung Insani 2014 - Kali ke 15 yang diadakan baru-baru ini pada 22hb Mac 2014 (Sabtu) di rasmikan oleh YB Uztaz Mohd Nazlan Hasbullah, Timbalan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Kelantan (U-Bes). Mesyuarat agung Insani adalah acara tahunan khas untuk ahli-ahli berkumpul dan menyuarakan pandangan demi kebaikan persatuan. Ustaz Mohd Nazlan yang juga ADUN Limbongan dalam ucapannya berharap Persatuan Insan Istimewa Kelantan menjadi tonggak utama untuk insan istimewa bersatu memperjuangkan kepentingan dan kebajikan OKU. Bersatu dalam jemaah akan membawa keberkatan.
dan kekuatan perpaduan.

Mesyuarat Agung kali ini dihadiri oleh 300 orang ahli yang datang dari segenap daerah di Kelantan. Ianya diadakan di Dewan Majlis Daerah Ketereh, Kota Bharu. Pengerusi Persatuan Insani, En Mohd Ramli Abdul Rahman berharap ahli-ahli yang hadir mendapat input dari Mesyuarat ini dan berharap setiap usul yang dibentangkan akan dibahaskan dengan penuh berhemah.

Tujuan mesyuarat adalah untuk memberi penambahbaikan kepada persatuan bukan untuk membidas sesiapa atau kerana perbalahan peribadi. Jadi gunakan sebaik-baiknya peluang setahun sekali untuk bermesyuarat.

Dalam mesyuarat ini tiga usul besar diterima dan akan dibuat tindakan selanjutnya:
1- Usul supaya penempatan OKU diutamakan sebagaimana penempatan nelayan dan sebagainya.
2 - Kuota rumah kos rendah  untuk OKU setiap projek perumahan oleh kerajaan.
3 - Peluang perniagaan kepada OKU diutamakan terutama perniagaan yang tidak melibatkan modal yang besar seperti tempat menjual suratkabar, kedai di stesen bas dan sebagainya.
4 - Mencadangkan kerajaan Kelantan melantik seorang Penyelaras Pembangunan Paralimpik negeri.

Mesyuarat agung kali ini tidak ada pemilihan dan ianya dijalankan dengan jayanya tanpa sebarang masalah.
























Penyampaian Sumbangan

Pada 28-02- 2014 (Jumaat) Persatuan Insani dengan sikap prihatin dan tabiat membantu telah mengadakan satu program khas iaitu Majlis Penyampaian Sumbangan Insani kepada mereka yang layak.

Majlis ini disempurnakan oleh Yang Berhormat ADUN Selising, En Zulkifli Ali. Pada Majlis itu, En Zulkifli berterima kasih kepada Persatuan Insani kerana menjemput beliau bersama-sama OKU. Pengalaman beliau selaku Penolong Pegawai JKM sebelum menjadi YB banyak memahamkan beliau tentang OKU. Jadi jemputan ini sangat dihargainya.
Selanjutnya beliau memuji Persatuan Insani yang dikenali sangat banyak memberi bantuan dan menolong ahli-ahli malah bukan ahli juga mendapat manfaat dari kewujudan Insani. Beliau berharap persatuan ini akan meneruskan tradisi membantu ahli-ahli yang memerlukan.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Insani, En Mohd Ramli bin Abdul Rahman berkata, semua bantuan yang disalurkan adalah hasil kutipan sumbangan dari pelbagai sektor korperat dan individu. Jika persatuan Insani mendapat pahala dari kerja kebajikan ini secara tidak langsung, penderma-penderma yang memberi derma juga sudah pasti mendapat keberkatan dan pahala yang sama. Oleh yang demikian beliau berterima kasih kepada semua penderma dan berharap sumbangan sentiasa diperolehi agar pembangunan dan bantuan yang disalurkan tidak terbantut. Mudah-mudahan semua mendapat manfaatnya.

Pada majlis itu pelbagai sumbangan diberikan seperti bantuan lampin pakai buang, bantuan kerusi roda, bantuan OKU terlantar dan sebagainya.